Tuesday 7 January 2014

Pegawai KEJAYAAN vs Pegawai KEGAGALAN




Pelajar yang melabelkan diri mereka sebagai pelajar tidak cemerlang sebenarnya tidak mungkin akan menjadi pelajar cemerlang  kerana sedari awal lagi mereka telah menetapkan sasaran  tidak cemerlang sebagai mindset.

Bayangkan menerusi analogi ini. Andaikan kita memiliki sebuah syarikat. Terdapat dua orang pegawai yang berkhidmat di syarikat tersebut iaitu pegawai kejayaan dan pegawai kegagalan. Pendapatan dan pencapaian mereka dinilai berdasarkan berapa besar dan signifikannya peranan masing-masing terhadap syarikat.

Katakan syarikat mendapat sebuah projek atau tugasan. Sebagai pemilik syarikat,  kita dapat membuat pilihan untuk memberikan tugasan tersebut kepada salah seorang pegawai syarikat yang terdiri daripada pegawai kejayaan dan pegawai kegagalan. Logiknya, kedua-dua pegawai tersebut akan melaksanakan tugasan tersebut berdasarkan peranan yang diberikan. Tetapi, apa yang bakal terjadi?

Sekiranya pegawai kejayaan yang menerima tugasan tersebut,  beliau akan berusaha memastikan tugasan tersebut dilaksanakan hingga berjaya. Situasi kontra dapat dilihat sekiranya pegawai kegagalan yang dipilih, maka kita dapat lihat beliau akan berusaha bersungguh-sungguh demi memastikan tugasan yang diberi berakhir dengan kegagalan.

Semakin kita mempercayai pegawai kegagalan untuk melaksanakan tugasan yang mendatang, semakin banyak tugasan atau projek tersebut bernoktah kegagalan. Akhirnya, syarikat kita dicop sebagai SYARIKAT KEGAGALAN.  Namun, apabila sebaliknya kita lebih cenderung mempercayai pegawai kejayaan untuk menyelesaikan tugasan, insyaAllah, semakin banyak kejayaan dapat dikecapi dan syarikat pula dijulang sebagai SYARIKAT KEJAYAAN.

Ironinya di sini, kita merupakan pemilik syarikat.  Sebagai pemilik syarikat, setiap pilihan kita menentukan sama ada syarikat kita BERJAYA atau TIDAK. Berfikirlah, tepuk dada tanya selera.



Begitulah analogi yang dapat menjustifikasikan diri kita. Jika kita masih berterusan berkata TIDAK  BOLEH terhadap semua perkara yang kita lakukan, maka semua  perkara tersebut serba tidak menjadi lantas kita tidak mampu menjadi cemerlang. Sebaliknya apabila pemikiran  ‘ AKU BOLEH’  menjadi sandaran, nescaya sememangnya kita boleh melakukannya. Konklusinya, kita adalah pemilik diri kita sendiri dan kitalah yang paling berhak menentukan hala tuju kejayaan kita.

No comments:

Post a Comment